|
Perjuangan Adil Hampir Ke Penghujung
Parti Berasaskan Emosi Tidak Tahan Lama
Oleh PemudaHQ
Kangar, Khamis, 17 Januari 2001
Sejarah negara ini membuktikan, semua parti serpihan
UMNO yang tertubuh berasaskan emosi, jumud dan
ketaksuban tidak dapat bertahan lama. Konflik dalaman
UMNO pada 1987 dan kemelut politik 1997 memperkukuhkan
pandangan ini.
Malah Pas yang tertubuh berikutan serpihan UMNO pada
1950-an juga menghadapi pasang surutnya dan kini
menuju keruntuhan dengan imej taksub, emosi,
keangkuhan dan peminggiran tawadhuk terhadap ilmu, dan
amalan buruk sangka, tohmahan, fitnah dan pelbagai
sifat negatif di pelbagai peringkat.
Berbanding UMNO yang ditubuhkan hasil kesepakatan
rakyat pelbagai lapisan, termasuk golongan bangsawan,
kumpulan terpelajar dan orang ramai ditubuhkan pada
1946 untuk menentang penjajahan dengan penubuhan
Malayan Union dan menuntut kemerdekaan.
Bekas Pengarah Pilihanraya Keadilan bagi Pilihanraya
Kecil Indera Kayangan, Mejar (B) Shariff Abu Bakar
berkongsi pendapat ini ketika ditemubual oleh wartawan
Kumpulan New Straits Times dan Analisis Malaysia
(laman web versi baru Malaysiakini) di Kangar.
Beliau berkata, semua pihak, termasuk rakannya dalam
Keadilan wajar menerima realiti bahawa Keadilan
ditubuhkan untuk memperjuangkan dan membela nasib
bekas Timbalan Perdana Menteri. “Agenda dan misi
perjuangan lain hanyalah tambahan kepada perjuangan
(untuk seorang pemimpin itu) bagi memantapkannya
(Keadilan). Kita juga tahu (dalam sejarah Malaysia)
parti yang berasaskan emosi tidak bertahan lama.”
Malah, beliau menjelaskan, berbanding Semangat 46
(tanpa niat negatif dan buruk sangka), Keadilan tidak
cukup kuat. Semangat 46 ditubuhkan juga dengan emosi,
tetapi ramai tokoh UMNO dan bekas menteri Kabinet
bersama parti itu, tetapi akhirnya “kembali ke pangkal
jalan.”
Beliau menegaskan, sudah empat tahun pemimpin, ahli
dan penyokong memberi peluang kepada Keadilan. “Kini
perjuangan untuk individu itu sudah sampai ke
penghujung. Tidak lama lagi kita akan mendengar
keputusan mahkamah terhadap rayuannya (Dato’ Seri
Anwar Ibrahim).”
Mejar (B) Shariff berkata, ketidakberkesanan dan
ketidaklancaran perjalanan pentadbiran Keadilan sudah
lama berlaku. Banyak petunjuk tergambar dalam
Perhimpunan Keadilan di Kemaman, Terengganu pada
November 2001. Antaranya ketegangan beberapa kumpulan
politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Saya dan rakan-rakan sudah lama berhasrat untuk
keluar dari Keadilan. Apabila Dr Chandra Muzafar
meletak jawatan dan mengundur diri dari Keadilan, itu
sudah cukup untuk kami bertanya dan berfikir, apa yang
tidak kena dengan Keadilan,” tegasnya.
|